Saturday, July 10, 2010

Fitnah Wanita





Titian dunia ku susuri satu persatu,
Bertatih dalam kandungan ibu,
Menghibah dunia destinasi ku,
Manusia dan makhluk dunia teman hidup ku.

Usia menjangkau masa berlalu jua,
Terasa usia ditelan dunia,
Ramuan suka duka menjadi santapan jiwa,
Pengalaman jiwa yang cukup bermakna.

Lahir membawa identiti rupa,
Wanita menjadi ketentuan YANG MAHA ESA,
Dugaan datang meneroboh jiwa,
Satu persatu meruntun kalbu terasa.

Bait bicara cuba di jaga,
Kerna diri membawa identiti rupa,
Mungkin ada khilaf terselit jua,
Hingga fitnah di tabur merata-rata.

Wanita dan diri ku sentiasa bersama,
Tidak terpisah selama-lamanya,
Justeru, ku lestarikan warkah untuk semua,
Moga mampu mencuit rasa.

Saat jiwa direntap rakus,
Mata berkaca jua menerus,
Terasa pandangan lurus,
Akal bermain kata tanpa terurus.



Wanita,
Pemakaian kalian bualan manusia,
Dicemuh merata perbandingan akal dunia,
Sikap dan pemakaian menjadi santapan nilaian manusia,
Tafsiran akal bermain kata,
Mulut mula membicara,
Hati mula meluah rasa,
Segala dibongkar menghina jua,
Sempurna ingin dilihat di mata,
Namun, ketahuilah manusia,
Khilaf diri itu pasti.

Wanita,
Fitnah diri senjata hati,
Membunuh jua wanita kini,
Namun, itu menjadi santapan kini,
Fitnah ditabur meruntun kalbu diri.

Wanita,
Diri mu dan diri ku satu.
Harus ku semai cinta bersama,
Cuba menjaga diri jua,
Dalam meniti bahtera dunia,
Ada khilaf diri terselit bersama.

Justeru,
Ku jatuh berlabuh berlutut,
Memohon khilaf untuk semua,
Semua nya takkan sama lagi seperti biasa.
Mungkin yang terbaik
Perlu ku undur diri dari semua,
Meninggalkan kalian untuk selama-lamanya.
Namun, diri ku tetap memberi,
Walaupun dalam duka dan perit di hati,
Kerna untaian bicara sahabat sejati,
Menjadi pegangan di hati.

Lelaki dan wanita,
Sesama kita bergelar insan,
Punya mulut untuk berkata.
Justeru, ku mohon dari kalian semua,
Penghinaan diri lestarikan kepada Si Dia,
Bukan ditabur merata-rata.

Akhir tinta ku di sini.

Sunday, July 4, 2010

Titipan buat teman...


Ya Sodiqi.
sedarlah kita adalah penyambung dakwah Nubuwwat,
generasi yang dilahirkan untuk menegakkan kalimah "Lailahaillallah",
kita adalah umat terpilih untuk memperjuangkan Dinul Islam,
meneruskan perjuangan para sahabat dan Rasul junjungan,
dalam menegakkan agama Allah yang diredhai.

Wahai Rajul penegak Islami.
Hentikanlah kelalaian dalam mengharungi arus duniawi.
selamilah dirimu mencari kekuatan hakiki,
demi Islam yang dicintai.
Harumi jiwamu dengan tarbiah Islami,
agar hatimu sekental Umar Al-Khattab,Hamzah 'Asadullah dan Salahuddin Al-Ayubi,
tidak gentar berjuang di jalan Ilahi.

Duhai akhawat mukminah sejati,
inginku ingatkan kita adalah sayap kiri perjuangan lelaki sejati.
Kelembutan dan keindahan akhlakmu penghias peribadi.
Tuturmu berhikmah penuh teliti,
menjadi dambaan syabab pilihan Ilahi.
Pagari dirimu dengan syariat Islami.
Jadilah mawar berduri yang sukar dipetik lelaki,
agar mereka mengerti dirimu sukar dimiliki,
tanpa iman yang teguh di hati.

Wahai sahabat pendukung agama Allah,
hubungkanlah hatimu dengan ukhuwahfillah,
agar jiwa ini dekat dengan Illahi.
Tabahkan hati menempuh cubaan duniawi,
semoga syurga tempat pertemuan abadi.

Ayah...


Di saat kebimbangan hadir
Persimpangan wujud
Kegoncangan emosi timbul
Kegigihan ku mulai memudar
Ketabahan ku menipis
Kepercayaan ku dikhianati
Engkau hadir dalam putih hatiku

Kata-katamu lembut menyentuh nuraniku
Parasmu terlintas dalam sejuk fikiranku
Kagumku padamu mengingatkanku
Bahawa "jangan berhenti di sini nak!"
Jalan masih panjang, perjuangan masih belum dimulai

Tidakkah kau ingin nak untuk mencuba
Menggapai sejuta mimpimu
Selagi kesempatan masih ada
Dan kau pun kuat untuk menghadapinya
"Tidakkah engkau ingin untuk mencuba anakku?"
Itu katamu padaku

Dorongan dan motivasimu
Membuatku boleh bertahan dengan segala yang ada
Doamu membuatku selalu kuat menghadapinya
Usahamu
Membuatku berfikir bahawa aku boleh dan mampu untuk melakukannya
Kata-katamu selalu terngiang di telingaku
Membuatku tegar dan tegas dalam menyikapi kehidupan.




MaMa...



Suara tangis kedengaran lagi,
Kelahiran baru ke bumi,
Mengamit keindahan alam fana ini,
Membuah bunga cinta dalam hati...

Tangis kelahiran baru didengari,
Rindu buat pasangan yang mengingini,
Segala usaha di susuli,
Moga zuriat di kurniai ILAHI...

Dalam sudut ruangan hidup ku hayati,
Ku susuri keperitan jantung hati,
Mengalas beban sembilan bulan sendiri,
Tanpa bantuan sesiapa di sisi...

Mama...
Jerih perih diri mu,
Menggalas beban diri ku,
Dalam kandungan penuh ilmu,
Diri ku di galas tanpa sendu,
Hanya riang rindu menggamit selalu...

Mama,
Diri ku membebankan mu,
Sejak kecil dalam kandungan mu,
Kini dewasa menghampiri usia ku,
terasa diri dibesarkan oleh mu...

Mama,
Lelah keringat membasahi diri mu,
Namun, tiada rungutan terukir di bibir mu,
Hanya senyum tawa terserlah dari mu,
Curahan sayang hanya untuk ku...

Mama,
Dalam lelah mengalas beban mengandungkan ku,
Dalam tenat melahirkan diri ku,
Dalam sakit membesarkan ku,
Dalam tangis menjagai ku,
Dalam sendu memberikan ku ilmu...
Engkau tetap tersenyum di situ....

Mama,
Lelah mu bukan di hujung hitungan mu,
Dalam hati mu,
Hanya sayang untuk ku,
Anak mu...

Mama,
Engkau membesarkan ku,
Tanpa tadahan tuntutan dari ku,
Hanya sekalung kejayaan harapan mu,
Demi melihat ku bahagia selalu...

Mama,
Halus tangan mu bersulam sayang untuk ku,
Membelai ku sejak aku dalam kandungan mu,
Menyentuh lembut pipi ku,
Mencium wangi ubun-ubun ku...

Mama,
Tangan mu kasar kerna membesarkan ku,
Kedut tua tergaris di dahi mu,
Namun, diri mu mampu tersenyum selalu,
Kerna berjaya mebesarkan ku...



Mama,
Pengorbanan terlalu tinggi untuk ku,
Mana mungkin ku lupa dalam memori ingatan ku,
Mana mungkin ku lupuskan dalam hati ku,
Mana mungkin ku gadai dengan cinta selain dari mu,
Mana mungkin ku sia-sia kan keringat mu,
Mana mungkin ku ganti segala pengorbanan mu,
Mana mungkin ku lihat mu menangis untuk ku,
Mana mungkin mampu ku derhakai mu,
Mana mungkin aku kejam terhadap mu,
Mana mungkin mampu ku lukai hati mu,
Kerna di kau permata hati ku...

Hanya cinta akan aku semat dalam hati ku,
Hanya sayang ku semai dalam sanubari ku,
Hanya segala nya untuk mu....
Wahai mama ku....

Salam rindu pengubat hati ku...
Ku tetap merindui mu
Ingatan dalam bait doa ku
Dalam sendu malam lena ku
Dalam tarbiyah harian hidup ku
Dalam intonasi suara hati ku
Dalam degup nafas ku....

Kerna dikau pengarang jantungku...
Hanya mu wahai mama ku...


Status Hadis RASULULLAH S.A.W.

Sesiapa yang sering membaca artikel-artikel keagamaan atau mendengar ceramah agama, pastinya menemui banyak nukilan hadis Rasulullah SAW. Bagaimanakah sikap anda apabila mendengar atau terbaca ucapan yang dikatakan hadis Nabi SAW? Adakah anda menerimanya bulat-bulat atau anda bersikap berhati-hati dengan membuat rujukan sebelum menerimanya?



Sekiranya anda terus menerimanya, anda berada dalam situasi yang merbahaya. Sikap kedua adalah langkah selamat, bijak dan betul. Tidak kira hadis itu terpacul keluar dari mulut seorang tokoh agama, ustaz atau ustazah yang tersohor, ilmuwan agama yang kerap muncul di televisyen dan sebagainya. Selagi tidak dinyatakan kesahihan hadis itu maka kita hendaklah berhati-hati apabila berinteraksi dengan dakwaan sesuatu hadis.

Kenapa begitu sekali? Kerana sikap berhati-hati ini akan menyelamatkan anda daripada termasuk dalam golongan yang menempah neraka sebagaimana hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 40 orang sahabat r.a. yang bermaksud :

“Sesiapa yang melakukan pendustaan atas namaku dengan sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di neraka.”

( Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari , Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimiy )

Sikap terus menerima, menyampaikan atau bercakap apabila mendengar dakwaan hadis tanpa usul periksa juga termasuk melakukan pendustaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

“Memadailah seseorang itu melakukan pendustaan apabila dia menyampaikan setiap perkara yang didengar olehnya."

( Imam Muslim)

Ancaman Rasulullah SAW tentang sesiapa yang mendustakan atas nama baginda SAW akan menempah neraka tidak sepatutnya dipandang remeh oleh setiap orang Islam. Amat mengecewakan apabila individu yang bergelar ustaz atau penceramah agama begitu mudah menyandarkan sesuatu ucapan kepada Nabi SAW tanpa diyakini kesahihannya. Orang awamlah yang menjadi mangsa kerana menerimanya bulat-bulat tanpa mengenalpasti status hadis tersebut.

Begitulah juga perintah Allah SWT dalam al-Quran apabila berdepan dengan perkara yang kita tidak mengetahuinya. Maksud firman Allah SWT :

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan."

(Surah al-Isra’, ayat 36)



Di sini dinyatakan secara ringkas beberapa panduan agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mendustakan hadis nabi SAW. Antara sikap yang mesti diambil apabila berdepan atau mendengar ungkapan didakwa hadis ialah :

1. Sekiranya dinyatakan hadis tersebut riwayat Imam al-Bukhari atau Imam Muslim maka boleh menerimanya kerana itu merujuk kitab sahih masing-masing dan ia diyakini sahih sepertimana disepakati oleh ulama hadis. Selain riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim seperti Imam al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa’i, ibn Majah, Ahmad, Daruqutniy, al-Darimiy dan sebagainya perlu kepada takhrij ulama’-ulama’ hadis tentang kedudukan hadis riwayat mereka sama ada dinilai oleh ulama silam atau ulama kontemporari.

2. Merujuk kepada individu yang berkemahiran dalam bidang hadis atau sesiapa yang mampu untuk mengenalpasti kedudukannya. Ingat! Sila rujuk golongan yang mengambil berat tentang kedudukan hadis. Diingatkan bahawa bukan semua ustaz atau ilmuwan agama mengambil berat atau benar-benar cakna tentang status hadis Nabi SAW. Ini kerana ramai juga golongan beragama yang amat mudah menyandarkan sesuatu ucapan kepada Nabi SAW padahal sebenarnya ia bukanlah hadis sahih bahkan hadis palsu atau da’if.

3. Membuat kajian dan merujuk sendiri sumber hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis. Pada masa kini Allah SWT telah memudahkan kita dengan adanya kemudahan internet. Kita boleh ‘search’ apa-apa maklumat di enjin pencari yang disediakan. Manfaatkannya sebaik mungkin. Kebanyakan status hadis telah banyak dibincangkan di laman-laman web agama berbahasa melayu. Bagi yang memahami Bahasa Arab lebih luas peluang untuk menemui perbincangan di laman-laman web Bahasa Arab.

4. Sekiranya tidak dijumpai dan gagal dipastikan status sesuatu hadis, maka tangguhkan dulu penerimaannya dan jangan disebarkan. Diam itu lebih baik dan lebih selamat. Sabda Rasulullah saw :

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

( Imam al-Bukhari)

5. Setelah dikenalpasti dan yakin hadis itu sahih atau hasan maka bolehlah disandarkan kepada Nabi SAW. Berusahalah untuk beramal dengannya serta menyebarkannya kepada orang lain. Kita hendaklah menerima hadis sahih seadanya. Sikap menolak hadis sahih sama seperti kita menerima hadis palsu. Kedua-duanya termasuk dalam mendustakan Rasulullah SAW.

6. Sekiranya dikenalpasti sesuatu hadis itu da’if dan tidak diyakini kesahihannya maka tidak boleh disandarkan kepada Baginda SAW secara putus. Cuba elakkan menyebarkannya kerana dibimbangi akan dianggap sahih oleh orang ramai kecuali dinyatakan status keda’ifannya secara jelas.

Ibn Hajar al-Asqalaniy telah menulis di dalam karyanya Tabyin al-‘Ajb, “Tidak menyebarkannya ( hadis da’if ) kepada orang ramai sehingga orang jahil menyangka ia amalan dari hadis yang sahih”.

Pesanan ulama hadis tersohor ini sebagai langkah berjaga-jaga, selamat dan tidak berisiko daripada berlakunya salah faham terhadap hadis Nabi SAW.

7. Sekiranya dikenalpasti sesuatu hadis itu maudhu’ atau palsu maka haram kita menerimanya, beramal dengannya atau menyebarkannya. Tidak boleh sama sekali kita menyandarkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana ia bukan sabdaan, amalan dan pengakuan baginda SAW. Kesan beramal dengan hadis palsu amat buruk kerana boleh merosakkan akidah, menyebabkan berlaku perpecahan, tersebarnya bid’ah, khurafat dan menimbulkan salah faham serta prejudis terhadap kesucian Islam.

8. Beramal dengan hadis yang sahih dan abaikan riwayat yang da’if dan palsu. Hadis-hadis sahih yang menggalakkan kita beramal soleh dan beribadat kepada Allah amat banyak sehingga tidak larat untuk dilaksanakan. Kenapa kita masih perlukan amalan yang tidak pasti dan samar dilakukan oleh Rasulullah SAW?

Sabda Rasulullah SAW :

“Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada yang tidak meragukan kamu.”

( hasan sahih ;riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasa’i )

Semoga beberapa panduan ini dapat membantu peminat-peminat ilmu agama agar terselamat daripada melakukan pendustaan atas nama Rasulullah SAW seterusnya dapat membendung dari tersebarnya hadis-hadis palsu dalam masyarakat kita.

Saturday, July 3, 2010

Kerana Ukhwah itu Indah

Menyedari dirinya sudah terlambat untuk ke kelas Physiology, Qistina berlari-lari anak tanpa menghiraukan pelajar-pelajar lain yang sedang memerhatikan kegopohannya itu. “Tak kisahlah apa orang nak kata yang penting aku cepat sampai ke kelas Profesor Azlan. Kalau lambat setakat lima minit takpe lagi sekurang-kurangnya aku tak dihalau keluar kelas kerana lambat.” Qistina memujuk hati. “Hai Qistina. Awal kamu masuk kelas saya hari ini ye?.” Seperti yang dijangka Qistina, Profesor Azlan pasti menegurnya. “Sorry Prof.” Qistina melontarkan senyuman kelat sambil mencari-cari tempat kosong.

"Hey Qis! Apasal kau lambat hari ini? Tak pernah-pernah kau lambat. Pelik juga aku.” Gadis tinggi lampai dan berkulit kuning langsat menyapa Qistina yang masih sibuk merapikan nota-nota kuliah tadi. “Eh Irah, sekejap ya. Nanti saya jelaskan. Jumpa kat kafé ya Irah?” Irah sekadar mengangguk tanda paham dan sebentar kemudian berlalu meninggalkan Qistina yang masih lagi sibuk menyusun nota-notanya.

Qistina dan Zahirah merupakan sahabat baik sejak di sekolah menengah lagi. Tidak mereka sangkakan jodoh mereka berpanjangan sehingga dipertemukan sekali lagi untuk berjuang bersama mengejar cita-cita yang sama juga di tempat yang sama. Keakraban mereka kadang kala dilihat oleh teman-teman sekuliah sebagai sesuatu yang pelik.

“Bagaimana awak boleh berkawan dengan Irah tu Qis? Dia kasar dan kata-katanya juga kadang-kadang boleh buat orang terasa. Tak macam awak. Bagai langit dengan bumi!”

Qistina hanya tersenyum apabila ada antara teman-temannya yang menanyakan soalan seperti itu. Baginya, orang lain tidak perlu mengetahui apa yang dia rasa dan lalui tapi cukuplah Allah sahaja yang mengetahui betapa ikhlasnya dia meneruskan sebuah ikatan persahabatan tersebut. Siapapun Irah dan bagaimana sekalipun pandangan orang lain terhadap sahabat baiknya itu, dia tetap akan berdiri teguh untuk mempertahankan erti sebuah persahabatan yang telah lama dibina. Qistina amat menyayangi Irah yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

“Assalamualaikum Irah”. Sapa Qistina pada Zahirah yang sedang asyik sekali meneguk ‘orange juice’ yang pastinya melegakan di saat cuaca panas terik seperti itu.

“Er waalaikumsalam. Ha sampai pun! Cepat bagitau apsal kau lambat tadi.” Irah menampakkan sikap kegopohannya. “Sabarlah awak, kalau ye pun bagilah saya ‘order’ dulu. ‘Jealous’ saya tengok awak asyik sekali meneguk ‘orange juice’ tu sampai saya datang pun awak tak perasan”. Seloroh Qistina dan kemudian dia berlalu untuk memesan air di gerai yang berdekatan. Irah terus meneguk ‘orange juice’ sambil dahinya berkerut menampakkan seribu tanda tanya pada riak wajahnya. Walaupun Zahirah sangat bersahaja dan sering didakwa sebagai seorang yang tidak mempunyai perasaan oleh teman-temannya namun jika sesuatu perkara yang melibatkan Qistina, dia pasti akan ke hadapan.

“Ha, air dah dapat, duduk pun dah sedap bukan main, sekarang baik kau cerita kalau tak aku takkan tegur kau untuk dua hari”. Ugut Irah. Mungkin sudah tidak sabar benar dia menantikan penjelasan daripada Qistina. “Er kenapa dua hari? Kenapa tak seminggu je?Sebulan ke?” Qistina ketawa kecil.

“Dua hari cukuplah. Nanti saya berdosa pula kerana memutuskan silaturrahim selama lebih tiga hari. Dah kau jangan nak buat lawak. Cerita cepat!” Bentak Irah. Qistina sebenarnya amat mengagumi Irah. Walaupun agak kasar namun Irah sangat rajin mempelajari ilmu agama dan setiap malam Jumaat Irah sering mengikuti Qistina pergi ke masjid berdekatan untuk menghadiri kuliah agama. Jadi tak hairanlah Irah banyak mengetahui pesanan-pesanan Nabi junjungan, Muhammad s.a.w.



“Irah, saya nak balik”. Qistina tiba-tiba bersuara. “Apa? Kau nak balik? Mana ada cuti. Cuti akhir semester lambat lagi. Kau kenapa Qis?Tiba-tiba je nak balik. Soalan aku apsal kau lambat tadi dah la kau tak jawab lagi”. Irah berleter panjang. “Irah, pagi tadi mak saya telefon. Katanya..” Qistina semakin tidak betah menahan hiba. Dia tertunduk kaku. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Kafeteria semakin lengang dengan pelajar dan hanya tinggal mereka berdua.“Kenapa Qis? Apa yang mak kau kata? Irah yang kasar orangnya tiba-tiba menjadi lemah lembut dan mesra. Sambil mengangkat kepalanya, Qistina berkata “ Irah, ayah saya dah ‘pergi’ ”.

Tersentak Irah mendengar berita tersebut. Dia merapati Qistina dan memeluk erat sahabat baiknya itu.“Innalillah. Sabar ye Qis. Allah s.w.t lebih menyayangi ayah Qis.” Hanya itu yang mampu diucapkannya. Irah sudah sedia maklum akan keadaan kesihatan ayah Qistina yang lumpuh seluruh badan akibat serangan ‘stroke’ setahun yang lalu dan keadaan ayah Qistina semakin tenat sejak minggu lalu. Sejak ayah Qistina sakit, emaknyalah yang betungkus-lumus menguruskan keluarga. Mujurlah Qistina mendapat bantuan biasiswa. Setidak-tidaknya, dapat juga dia meringankan beban emaknya itu. Qistina juga sering mengikat perut dan berbelanja seminimal mungkin bagi menyimpan wang untuk dihantar kepada ibunya. Walaupun Irah dan Qistina bukan rakan sebilik, namun Irah sering berhubung dengan rakan sebilik Qistina mengenai keadaannya termasuklah makan minum Qistina.

Irah terus memeluk erat tubuh longlai Qistina sambil menyeka air mata Qistina yang semakin galak menghujani pipi teman baiknya itu.”Kenapa ujian Allah buat saya begitu berat, Irah? Saya tak sanggup lagi menahannya Irah. Saya lemah. Kenapa harus saya yang menerima ini semua Irah?Allah tak sayangkan saya ke Irah? Apa dosa saya sehingga begini berat sekali ujian yang harus saya terima? Irah, saya rindu ayah saya.” Tangisan Qistina semakin tidak terbendung.

“Qis, kau kena kuat. Tak boleh lemah macam ini. Kau ingat tak pesan Ustaz Rizal semasa kuliah agama minggu lepas? Walau apapun dugaan yang Allah turunkan buat kita, semua itu adalah untuk menguji sejauh mana kesabaran dan keikhlasan kita dalam menerima ketentuanNya. Ini takdir yang harus kau terima. Kita hamba-Nya sentiasa layak diuji. Kau, aku dan semua manusia tidak terlepas daripada ujian, hanya yang membezakan kita adalah bentuk ujian itu sendiri. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah s.w.t tidak mahu ayah kau berperang dengan dirinya lagi dengan terus dihimpit rasa bersalah melihat kepayahan emak kau membesarkan kau adik-beradik sedangkan arwah tidak mampu menolong apa-apa. Ingat Qis, setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya hanya masa yang menentukannya. Masa kita juga pasti akan tiba. Redha ye Qis. Berdoalah untuk ayah kau, Qis semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solihin dan semoga kau akan bertemunya lagi di akhirat nanti.” Nasihat Irah apabila melihat Qistina sudah tidak mampu berkata-kata hanya linangan air mata menjadi saksi kesedihannya mengiringi pemergian ayah tercinta.

Dua pekan sudah berlalu. Irah semakin gelisah seperti cacing kepanasan apabila kelibat Qistina tidak muncul-muncul juga. Setiap pagi dia pasti akan menunggu Qistina di lobi bangunan universiti kalau-kalau kelibat Qistina kelihatan di situ tapi hampa. “Mana budak ni. Dia tak nak ambil ‘exam’ ke? Lagi seminggu je tinggal ni. Kuliah dah la banyak tinggal”. Irah mengomel sendirian. Petang itu dia yang menghantar Qistina ke KL Sentral dan Terminal LCC. Mujur ‘flight’ ke Kelantan masih ada.

Sejak itu Irah tidak mendengar lagi khabar berita daripada Qistina. Irah cuba menghubungi Qistina namun telefon bimbitnya dimatikan. “Dila, Qis ada ‘contact’ kau?” Sapa Irah apabila melihat kelibat Adilah, teman sebilik Qistina semasa berlegar-legar di lobi tersebut. “Sejak pagi itu, saya langsung tidak terima sebarang berita daripada Qis”. Balas Adilah. Sebenarnya, berita mengenai kematian ayah Qistina hanya diketahui Irah sahaja. Walaupun Adilah merupakan teman sebiliknya namun dia mendapat berita tersebut setelah dua hari keberangkatan Qistina ke kampung halamannya dan itupun melalui Irah bukan dari mulut Qistina sendiri.

“Semasa Qistina sedang bersiap-siap untuk ke kuliah, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon daripada emaknya. Yang saya pelik lepas je mereka menamatkan perbualan, Qistina terduduk kaku di atas katil. Apabila ditanya dia kata tiada apa-apa. Dia mengelamun panjang sampai saya menyapanya kerana telah terlambat untuk ke kuliah,” Terang Adilah kepada Irah semasa diberitahu khabar mengenai pemergian ayah rakan sebilknya itu. “Ya Allah, tabahnya kau Qistina. Tak sangka aku dalam menerima khabar hiba itu kau masih boleh pergi ke kuliah, tersenyum dan berseloroh denganku sehingga aku sendiri tidak dapat membaca penderitaan yang kau tanggung. Maafkan aku Qis. Aku bukan sahabat yang terbaik buat kau. Maafkan aku” Irah bermonolog.

“Ah tak boleh jadi ni, aku tak boleh diamkan diri sebegini. Apa tanggungjawab aku sebagai seorang sahabat? Takkan sekadar berdiam diri sedangkan sahabat baik yang selama ini banyak membimbingku sedang bermuram durjana. Aku mesti lakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya aku tidak merasa bersalah pada diriku kerana membiarkan sahabatku sendirian menghadapi kesusahan. Aku mesti mencari tahu kenapa dia sudah lama tidak pergi ke kuliah.” Irah terus bermonolog dengan dirinya.

Setelah ‘check in’, Irah duduk di suatu sudut tempat menunggu sementara menanti untuk berlepas. Pandangan Irah tertarik pada sepasang suami isteri ‘orang putih’ yang sedang bergurau senda dengan puteri mereka yang dalam perkiraan Irah berusia lima tahun. Terdetik rasa cemburu dalam dirinya apabila melihat telatah manja anak kecil itu sambil bergelak ketawa bersama ibu bapanya. “Apakah khabar mama saat ini? Dah lama aku tak menghubungi mama. Ya Allah, semoga mamaku sentiasa dalam perlindunganMu”. Doa Irah dalam-dalam.Tanpa disedari menitis air hangat di pipinya.

Lamunannya terhenti lantaran terdengar pengumuman petugas yang mengarahkan para penumpang supaya beratur untuk menaiki pesawat. Irah segera menyeka air matanya sambil bergegas mengambil tempat di puluhan manusia yang sedang beratur menunggu giliran. Tidak seperti Qistina, Irah dibesarkan dalam keluarga yang agak mewah. Papanya memiliki sebuah perusahaan perkapalan yang berdiri teguh sehingga hari ini. Tapi sayang, kekayaan dan pangkat tidak menjamin kebahagiaan malah bisa menggelapkan mata dan hati yang mudah goyah dengan hasutan syaitan. Papa Irah sering tidak pulang ke rumah dan meninggalkan mamanya yang sedang berperang dengan penyakit kanser payudara peringkat akhir sendirian di rumah.

“Gila! Berkasih-kasihan dengan perempuan yang hampir seusia dengan anak sendiri. Ah persetan semuanya! Biarlah papa dengan dunianya yang penting aku ada mama! Aku harus tabah untuk mama! Mama perlukan aku!” Bentak hatinya ketika melihat papanya berpegangan tangan bersama seorang perempuan muda yang berusia dalam lingkungan dua puluh lima tahun ketika dia sedang melewati sebuah pusat membeli belah. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyerang perempuan tersebut tapi dia tahu itu hanya kerja yang sia-sia malah akan membuatkan dirinya malu. Namun, luluh benar hatinya itu apabila melihat papa yang diharapkan menerajui bahtera rumahtangga di samping memberi semangat buat mama yang sedang berperang dengan maut, berpeleseran dengan anak muda seusia dengan anak gadisnya.



Qistinalah yang selama ini banyak mendorong Irah untuk terus kuat menghadapi ujian hidup yang pastinya tidak akan sepi mendampingi hambaNya. “Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakanku teman sebaik Qistina di saat aku memerlukan tempat untuk mengadu”. Irah melakarkan rasa syukurnya.

“Assalamualaikum”. Irah memberi salam.

Sejurus kemudian, kedengaran orang menyambutnya dari dalam dan dengan perlahan-lahan daun pintu dibuka.

“Wa’alaikumsalam. Oo Irah rupanya. Jemput masuk Irah”.

Wanita dalam lingkungan empat puluhan itu mempelawa Irah masuk sambil menyalami tangan anak gadis itu. “Mak cik sihat? Salam takziah ye mak cik. Irah minta maaf kerana tidak dapat menghadiri pengebumian pak cik tempoh hari”. Irah meluahkan kekesalannya. “Alhamdulillah mak cik sihat. Terima kasih Irah. Takpe makcik faham Irah sibuk. Bakal doktorlah katakan. Irah duduk dulu ye nanti mak cik panggilkan Qistina”. Pelawa mak cik Esah kemudian berlalu ke mana pun Irah tidak tahu.

Dia terus mengamati setiap sudut rumah itu. Sungguh sederhana malah baginya sungguh daif sekali. Kelihatan cahaya menembusi lubang-lubang kecil pada atap zink pondok usang tersebut. “Assalamualaikum Irah. Err..awak..” Sapa Qistina yang agak terkejut dengan kedatangan Irah. Lamunan Irah mati seketika. Dia lalu bangkit dan tanpa berlengah lagi dia terus memeluk erat tubuh Qistina. “Wa’alaikumsalam Qis. Kau sihat?” Irah semakin tidak tegar menahan tangis. Rindu benar dia dengan gadis kacukan Cina itu. “Alhamdulillah. Saya sihat. Awak? “. Sahut Qistina. “Alhamdulillah sihat juga. Tapi kenapa kau dah lama tak ke kuliah? Banyak yang kau dah tertinggal. Minggu depan dah nak ‘exam’. Semua orang risaukan kau, Qis.Banyak kali aku cuba hubungi kau tapi ‘handphone’ kau sentiasa ‘off’. Kenapa Qis?Kau ada masalah ke?”. Bertubi-tubi pertanyaan yang dilontarkan.

“Maafkan saya Irah kerana menyusahkan awak sehingga sampai ke sini awak mencari saya. Maafkan saya”. Qistina tertunduk. Kelihatan manik-manik kaca gugur membasahi lantai kayu kediaman tersebut. “Qis, kenapa?” Irah menggenggam erat jari-jemari Qistina. “Irah maafkan saya. Saya tidak mampu lagi untuk meneruskan pengajian. Saya orang susah Irah. Saya nak berhenti.” Irah tersentak. Mukanya tiba-tiba menjadi merah dan bengis sekali sambil air mata tetap tidak henti-henti mengalir meraikan suasana suram petang itu. “Apa Qis? Kau nak berhenti? Kau ulang sekali lagi! Aku tak dengar!” Irah tiba-tiba menjadi marah.

“Maafkan saya Irah. Saya nak tolong mak saya. Biarlah adik-adik saya yang meneruskan cita-cita saya. Saya tak sanggup melihat mereka berhenti sekolah gara-gara kesempitan hidup yang kami alami. Mereka masih kecil dan tidak seharusnya menanggung penderitaan ini. Jadi biarlah saya yang berkorban. “Qis!Apa yang kau cakapkan ni? Kau sedar ke tak apa yang kau cakapkan ni?Kau tahukan kita tinggal setahun setengah je lagi untuk ‘graduate’? Kau tahukan bukan mudah untuk sampai ke tahap ni tapi senang-senang je kau nak mengalah sekarang! Kau kata nak tolong emak dan adik-adik kau tapi apa yang kau mampu buat? Kelulusan apa yang kau ada? Setakat jual kuih? Kerja kilang? Berapa sangat yang kau dapat untuk membantu adik-adik kau? Cukupkah Qis? Berbanding jika kau bertahan untuk setahun setengah je lagi."

Sambil memegang wajah Qistina, Irah menunjukkan ruang-ruang di rumah tersebut. “Kau tengok ni!Kau tengok atap ni .Mampukah kau mengubahnya menjadi atap genting? Mampukah kau mengubah papan-papan ini menjadi batu? Mampukah kau mengubah kehidupan kau sekarang dengan mengalah sebegini?.Aku tahu Qis, wang bukanlah tujuan utama ‘profession’ ini tetapi sifat kemanusiaan itu sendiri. Kalau kau masih ingat dulu kita sama-sama pernah membina impian ingin berkhidmat untuk agama dan bangsa terutama mereka yang susah. Apa kau sudah lupa?Kalau kau undur diri apalah nasib rakyat kita yang mengharapkan pertolongan kau suatu hari nanti Qis? Lupakah kau kerjaya ini yang kau idam-idamkan sejak kecil? Tidak semua orang berpeluang tapi bila kau dah sampai tahap ni senang je kau nak tinggalkan. Kau pentingkan diri sendiri Qis! Sampainya hati kau nak tanamkan jauh ke bumi harapan emak dan ayah kau!”Irah semakin hilang sabar.

“Qis, aku dah malas nak cakap dengan kau lagi. Aku tak pernah ada sahabat yang cepat benar putus asa! Qistina yang aku kenal dulu sungguh tabah dan tidak pernah mengalah berperang dengan nasib hidup! Kalau profesor dan kawan-kawan tahu pasti mereka gelakkan kau, Qistina! Kau dah lupa kata-kata semangat yang pernah kau ungkapkan sebagai perangsang untuk aku terus bertahan melawan takdir hidup aku? Inikah Qistina yang amat aku kagumi dulu?” Irah terus lontarkan kekesalannya. “Irah, awak tak paham.” Qistina cuba membela diri.

"Dah la Qis, aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku balik dulu. Ambillah nota-nota ni. Kalau kau rasa ianya berguna untuk kau, kau tahu apa perlu kau buat. Aku tak kisah bersusah-payah demi sahabat tapi kalau kau sendiri putus asa dengan nasib kau apa aku boleh buat. Kalau kau rasa masa depan kau, emak dan adik-adik kau masih ingin kau bela, kau bacalah dan aku tunggu kau di dewan peperiksaan minggu depan. Sungguh aku menyesal kerana terlalu mengharap pada orang yang tidak ada matlamat hidup ni. Kau buatlah apa yang kau rasa terbaik!Semoga kau berjaya, Qis. Assalamualaikum”. Irah berlalu tanpa sempat membenarkan sepatah kata daripada Qistina untuk membela diri.

Air mati semakin galak menghujani pipi gebu Qistina. Pilu benar hatinya mengenangkan pengorbanan yang Irah hulurkan tapi berakhir dengan kekecewaan. “Maafkan saya Irah. Saya tak mampu. Maafkan saya”. Qistina menyesali diri sendiri. Sebentar lagi peperiksaan akhir semester tujuh akan bermula. Selepas ini mereka akan bersiap-siap pula untuk menjalani praktikum di hospital yang terpilih. Wajah setiap mahasiswa menampakkan kegelisahan. Ada yang lebam-lebam matanya akibat kurang tidur dan ada juga yang pucat lesu bagai mayat. Maklumlah inilah penentunya setelah bersusah payah selama hampir tiga tahun setengah untuk sampai ke tahap ini. Sesuatu yang pastinya bukan mudah.Segala pengorbanan dan kesungguhan tidak akan disia-siakan demi menggapai impian menjadi tunggak harapan bangsa dan agama. Semua pelajar mendapatkan tempat duduk masing-masing sesuai dengan angka giliran. Irah kelihatan sungguh gelisah dan acap kali juga dia melemparkan pandangan mencari-cari kelibat tubuh Qistina namun hampa. “Aku kecewa Qistina”. Irah tertunduk.

“Baiklah semua pelajar, peperiksaan akan dimulakan lima minit lagi. Sila semak angka giliran dan maklumat yang tertera pada kertas jawapan. Pastikan semuanya betul.” Pesan Prof. Madina kepada pelajar-pelajarnya.

“Prof! Maafkan saya kerana terlambat”. Pinta seorang mahasiswi yang agak kelam kabut dan sesekali dia menarik-narik nafas yang seakan sukar untuk dilepaskan.

Irah mengangkat kepalanya seolah-olah dia kenal benar akan suara tersebut.“Qistina! Alhamdulillah”. Irah menarik nafas lega. Dari jauh, Qistina melemparkan pandangan pada Irah dan mereka berbalas senyuman. “Terima kasih Irah. Kaulah sahabat saya di dunia dan mudah-mudahan di akhirat juga”. Kata Qistina pada Irah semasa keluar dari dewan peperiksaan. “InsyaAllah. Mudah-mudahan ukhwah ini sentiasa dalam perlindungan-Nya dan semoga kita sama-sama dapat menjadi seorang doktor yang beriman dan berbakti kepada masyarakat dan agama. InsyaAllah. Kita boleh!” Kata Irah penuh semangat. “Ya kita pasti boleh! Semangat!!” Sahut Qistina.

Aku,,, Cinta Dan Kampus

Aku masih ingat dikala itu, Disaat aku begitu gembira dapat lepas jauh dari jangkauan dua ibubapaku. Inilah kebebasan yang aku impikan selama ini. Atas maksud belajar aku dilepaskan pergi berbekal iman senipis kertas dan ilmu agama setitis dakwat. Tanpa aku sedar iman dan ilmu yang begitu rapuh bakal mengundang padah diriku yang masih belum bersedia menongkah arus lautan maksiat yang begitu deras di kampusku.

Ah namun itu tidak bererti padaku, Apa yang penting aku dapat mengecap kebebasan yang aku inginkan selamanya. Saat aku mengecap kebebasan itu, Aku rasakan inilah manisnya dunia. Pakaianku sudah berubah dari berbaju kurung sopan kepada fesyen gadis moden bergaya walaupun aku terpaksa menampakkan aset diriku yang dikhususkan untuk bakal suamiku. Namun aku tidak kisah. Aku tidak mahu digelar gadis kampung yang kolot dengan mengenakan pakaian sopan tersebut. Aku sekarang berada dibandar, tiada siapa yang akan menghiraukan apa yang hendak aku lakukan walaupun bertentangan dengan norma-norma agama.



Pergaulanku makin bebas, Kalau dulu disekolah, aku masih ingat, Pengaulanku begitu terjaga. Jangankan hendak bercakap dengan lelaki berjumpa pun aku sudah lari kerana malu. Jangankan hendak bersentuhan, jika aku ditenung lelaki pun aku sudah melinting kemarahan…

Namun kini keadaan sudah berbeza, aku tidak mampu membawa prinsip itu di kota besar ini. Lagipula hati halus ini begitu ingin disayangi oleh insan bergelar lelaki. Terus aku biarkan sahaja keinginan kekasihku melakukan apa sahaja padaku. Apa yang pasti, pada saat itu aku begitu cinta dan sayang padanya. Saat itu aku lupa pada penat lelah ayah yang membanting tulang berpeluh keringat berkerja menampung pelajaranku disini. Aku sudah lupa pada jasa ibu yang bersabung nyawa melahirkan aku.Aku lupa ,aku lupa,aku lupa. Ya Allah pasti luluh hancur hati ibu bapaku melihat apa yang aku lakukan saat ini. . .

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Kini aku sudah berada ditahun akhir pengajianku dikampus. Hari makin hari aku rasa bosan dengan kehidupan disini, serabut dan bercelaru. Aku tidak tahu kenapa. Apa sahaja yang aku lakukan serba tidak kena. Aku rasa kosong. Cukup kosong. Aku melakukan apa sahaja untuk memenuhkan kekosongan hatiku. Aku pergi ke pantai, shopping, karaoke, melancong, mendengar lagu, bersuka ria bersama teman dan apa sahaja cara untuk menghiburkan hatiku ini. Namun hari makin hari hati ku makin sengsara. Bila aku ditanya tentang cinta. Aku melenting dan cukup marah.

Apa CINTA!!!

Aku sudah serik dengan cinta. Setelah segala keinginnyaku penuhi. Dia telah pergi meninggalkan aku. Mencari adik-adik junior yang yang lebih segar untuk “diratah” seperti diriku.

YA ALLAH

Aku sangat menyesal atas perbuatanku ya ALLAH

Ampunkan ku



MOTIVASI @GAMA...

Mungkin ini adalah salah satu dari getusan hati kekesalan puluhan ribu gadis remaja yang hanyut dalam indah dan manisnya dunia. Mereka dibuai penuh asyik dengan hiburan, lelaki dan wang hanya untuk nikmat yang seketika. Hingga akhirnya mereka kecewa dipermainkan dunia dan oleh lelaki yang bertopengkan syaitan.

Berapa ramai gadis-gadis yang jatuh diribaan lelaki buaya darat atas janji manis yang palsu belaka hingga gadis-gadis ini sanggup melakukan perbuatan yang sangat terkutuk disisi agama hanya untuk menzahirkan cinta sejati mereka. Sedarlah saudari muslimatku. Seorang lelaki tidak akan memperisterikan seorang gadis yang telah dikecap madunya sebelum ikatan yang sah. Apatah lagi untuk menjadikan gadis “Pakai Buang” itu ibu pada bakal anak-anaknya nanti!!!

Duhai saudari Muslimahku,
aku tahu engkau telah menyesal atas tipu-daya dunia. Dunia yang luas, pastinya ketika ini cukup sempit untuk. Engkau tidak tau apa yang perlu dilakukan. Dimana perlu aku bermula untuk memperbaiki kekhilafanku ini???

Wahai saudari muslimahku,
walaupun seluruh dunia ini membencimu atas kesilapanmu dahulu. Namun percayalah engkau tidak bersendirian. Allah masih sentiasa bersamamu. Walaupun engkau datang bersama dosa sebesar bukit Uhud Allah tetap memaafkanmu. Hatta engkau datang bersama dosa langit dan bumi Allah tetap menantikanmu untuk memberikan keampunan sepenuh langit dan bumi. Percayalah sahabatku walau sebesar manapun dosamu dahulu Allah tetap akan mengampungkanmu.

Lupakah engkau pada cerita lelaki yang telah membunuh 100 orang manusia lantas dia bertaubat, terus ALLAH telah memasukkanya kedalam syurga. Aku pasti wahai saudari Seislamku pastinya dosamu tidak sebesar cerita lelaki diatas yang termaktub dalam kitab hadis yang paling sahih (Al-Bukhari)

Duhai saudariku,
Bertaubatlah dengan sepenuh hatimu. Hiasilah malammu dengan isak dan tangis memohon keampunan dari Rabbmu. Biarkan pipimu mengalirkan air mata taubat yang akan menjadi saksi dipadang Mahsyar Allah nanti. Allah masih sayangkanmu wahai saudariku. Kerana itulah Allah yang maha Esa masih memberi denyut nadi untuk dirimu bernafas bagi memberi peluang untuk dirimu bertaubat.

Aku tahu engkau begitu menyesalkan dengan cinta masa lalumu yang penuh titik hitam. Dan pasti engkau risaukan pasti tiada lelaki soleh yang akan memperisterikan dirimu. Saudariku percayalah masih ada lagi lelaki soleh diluar sana yang tidak akan kisah lansung dengan sejarah hitammu asalkan dirimu benar-benar bertaubat dan dapat menjadi isteri yang TAAT dan SOLEHAH padanya.


DUHAI SAUDARI SEISLAMKU,
ISTIQAMAHLAH DALAM TAUBATMU
SABAR DAN JANGAN PUTUS ASA,
KERANA PASTI ALLAH TELAH MENYEDIAKAN LELAKI YANG SOLEH BUAT MEMBIMBINGMU MENJADI ISTERI YANG SOLEHAH…

Renungkanlah HAWA ....

Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam, kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam bila sinar islam berkembang, darjat kita diangkat ,maruah kita terpelihara, kita dihargai dan di pandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah.

Wahai Hawa,
Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan islam itu? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya, kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya? Wahai Hawa,Tangan yang mengoncang buaian bisa mengoncang dunia, sedarlah hawa kau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah, kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan islam di mata dunia. Tapi hawa jangan sesekali kau cuba mengoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu.

Jangan Hawa ,
jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu, kerna aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang di eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah hawa janji tuhan kita , wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan mengadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan..takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya ,serta kemampuannya mengoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu ,jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insane yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga. Hawa ,Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang mengoncang buaian ini bisa mengoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi. Jangan sesekali tangan ini juga yang mengoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.

Wanita : Agar Kau Bahagia

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-norma nya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.



Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi RabbNya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut,kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutanNya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.

Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir.

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

Adam,,,Mengertilah...

Adam,mengertilah...
Hawa bukanlah insan yg kuat..
bukan juga insan yg bisa menahan nafsu..
tatkala diri diuji, Hawa sering tewas...
tewas dgn godaan syaitan & nafsu sendiri..

Adam,mengertilah...
sungguh, Hawa telah cuba melakukan yg terbaik..
agar diri ini tidak menjadi fitnah dunia...
telah Hawa cuba menjaga diri ini sebaik-baiknya..
Hawa sedaya upaya menjauhkan diri dari tabarruj..
perfume, make up, perhiasan...
telah Hawa elakkan sejauh-jauhnya..
namun mengapa masih Adam tertarik pd Hawa
yg serba kekurangan ini..

Adam,mengertilah...
Hawa ini berjiwa lembut...
sukar untuk Hawa menolak bila Adam meminta...
Hawa tau permintaan Adam
tak mungkin membawa Hawa ke kancah maksiat...
namun, Hawa lemah...
Hawa takut zina hati...

Adam,mengertilah...
setiap kali 'sms' diterima..
Hawa keliru...
ingin sekali Hawa membiarkan sahaja..
tapi Hawa akur tuntutan sahabat...
Hawa tewas...
Hawa reply juga...
mengenangkan Adam adalah sahabat....

Adam,mengertilah...
setiap layanan yg Hawa beri hanya sekadar membantu..
mungkin Hawa adalah antara kasih sayang Allah yg dikurniakan buat Adam..
memudahkan perjalanan hidup Adam..
jgn disalah tafsir apa yg Hawa berikan..

Adam,mengertilah...
Hawa mengharapkan Adam menjaga Hawa..
namun,bukanlah 'couple' yg Hawa pinta...
tp cukuplah sekadar tidak memandang Hawa..
cukuplah sekadar menghormati Hawa sebagai Hawa..
jgn dipinta apa yg tak mampu Hawa berikan..
kerana Hawa milik Allah sepenuhnya...

Adam,mengertilah...

Tanda-tanda kematangan

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai. Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa. Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka. Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat. Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda. Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya. Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang. Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati. Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif. Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna. Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai. Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita. Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

Siapa Insan Bernama Kekasih ???

Seruan Cinta Terzahir Di Mata

Mata penulis tajam memerhatikan dengan penuh pengamatan bangunan peninggalan sejarah itu dengan mata berkaca-kaca. Boleh dikatakan setiap hari penulis akan mendatangi satu ceruk laluan berpagi-pagian untuk mencari mutiara-mutiara berharga di persisiran mahligai terunggul di rantau ini. Semenjak berpindah ke rumah baru, penulis tidak lagi perlu bersusah -payah memerah keringat menunggu, berhimpit-himpit dan berpanasan di dalam bas kerana jarak dari rumah ke universiti hanya mengambil masa 10 minit perjalanan. Kalau hendak diikutkan mungkin ada sahaja mereka yang pantas memberikan alasan;

“Masih jauh tu.”

“Ala, naik bas bukannya mahal sangat pun, dengan mata wang Mesir ni.”

“Tidak mengapalah, enta jalanlah dulu ana ikut dari belakang.”

Namun keindahan setiap jalanan di angkasa lukisan arca bangunannya tidak tumpah seperti sebuah kota lama yang masih segar, kaki memacu gagah melangkah ke hadapan, saban hari setiap waktu dan ketika, laluan ini, bumi kota lama ini tidak pernah sirna dari derapan bunyian ribuan kaki melangkah, berlari-lari anak dan hentakan kuat deruman enjin tua. Suara-suara dari segala sesuatu meruak-ruak dalam gelombang besar dan tersuling ke liang-liang bisikan setiap yang melaluinya.

Kali ini, penulis merasakan ada sedikit kelainan yang bermain di jiwa, seakan-akan mengajak penulis mengukir bait sebagai pahatan kenangan di setiap dinding bangunan unik itu. Penulis hampir tertewas pada lamunan kecil iblis bermain hebat di pancaindera, seolah-olah berada pada kurun masa sewaktu tapak bangunan ini ditegakkan.

“Erm, mungkin sudah ratusan tahun.”

Bisik hati penulis sambil cuba mencari kepastian kalau ada catatan usang yang bertarikh pada deretan bangunan ini.

“Kenapa kali ini hati aku tertewas pada polimikan seni bina bangunan?”

“Apakah sebelum ini aku tidak pernah melalui di celah-celah batu-batu yang berkotak lebih indah dan lebih canggih dari ini?”

Penulis terkesima hebat sambil mata bagaikan melekat kuat pada batu-batu tersusun rapi itu. Lamunan hati penulis mati seketika dek terdengar dari dekat laungan azan muazin berteriak lantang. Hati penulis tergerak untuk mencari kebenaran di sebalik tilikan tidak bertauliah sebentar tadi, mana tahu mungkin ada siapa-siapa yang lebih tahu tentang sejarah bangunan dan tembok besar yang masih tersisa di luar sana. Kaki penulis bergerak terancang seiring rabaan mata menguyu mencari dari mana arah azan itu berkumandang. Sambil berjalan telinga penulis menangkap kemas suara-suara bel dan paduan nada malakut terkadang-kadang mencair jauh. Penulis menyaksikan pertengkaran di sebelah tempat penulis mengelamun sendu tadi, dua perempuan saling melayan ke arah masing-masing dan seketika mereka ditarik untuk dilepaskan, pakaian rumah mereka berterbangan terlepas ke udara seperti bulu-bulu yang sangat besar.

Penulis terpesona sekejap dengan adegan-adegan yang tidak berbayar itu, boleh dikatakan sudah menjadi rutin harian orang-orang Arab akan berirama keras sesama mereka hanya kerana masalah kecil. Kaki terus memandu tubuh yang semakin mengurus, tiba-tiba mendekat suara serak-serak basah yang muncul dari antah berantah, tapi yang pasti suara itu bukan roh yang tersesat;

“Anak mahu ke mana?”

Suara seorang tua Arab bertongkat bergerak laju sedikit daripada penulis.

“Pakcik apa khabar?”

Wajah penulis menjadi rembulan menatap kasih padanya.

“Saya mahu mencari arah suara azan tadi berkumandang.”

Jawab penulis tersimpul manis di bibir.

“Pakcik tahu, di mana masjid tu?”

Penulis terasa agak malu sedikit, masakan hal sekecil itu tidak boleh diselesaikan sendiri.

“Mari nak, pakcik tunjukkan. Pakcik pun mahu ke sana juga.”

Sambil memegang lembut tangan penulis memimpin ke arah suatu bangunan tersorok kecil dari pandangan.

“Patutlah tak jumpa,di sebalik bangunan rupanya.”

Penulis membiarkan tangan terus disuluh oleh orang tua Arab itu, sambil tersenyum malu. Baru penulis mengerti bahawa sebuah cinta suci itu, tidak semestinya perlu disaksikan dengan suara yang keluar semata-mata, cinta yang indah tidak perlu mencari sesat, cinta yang bersulam secangkir iman tidak perlu meminta berharap dan cinta itu tidak perlu dibayar dengan material yang terpancak.

Cinta sebenar hanya perlu sedikit pengorbanan dan pengertian di sebalik tembok kukuh yang pernah dibina oleh Nabi Adam a.s dan Nabi Yusof a.s suatu ketika dahulu bersama pasangan masing-masing. Rasa kagum pada lukisan ukiran bangunan dan keseniannya juga merupakan cabang-cabang cinta yang lahir secara ikhlas sepersis mawar berduri petanda kasih yang masih belum termiliki. Inilah kejujuran yang pasti, tanpa perlu mencari dan meraba-raba senuansa ciptaannya oleh Tuhan yang Maha Mengerti akan keperluan sekalian hamba-Nya.




Pencarian Sebuah Potrait Cinta

Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang, jatuh bangun sebuah kehidupan berumahtangga demi melihat pemerkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya generasi zuriat sebagai pejuang menggalas kesinambungan para mujahid terdahulu. Rumahtangga tadi sekiranya dibina dengan tapak semaian keimanan, ketakwaan dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehah serta jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup. Nabi pernah bersabda;

“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan agamanya. Oleh itu, utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung.” (Hadith riwayat Muslim)


Apa yang dapat kita fahami, dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri yang paling baik dalam memilih calon bakal isteri iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlintas di benak hati kita untuk memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maung hidup seorang suami yang terpaksa bekerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian dalam negara adalah amat besar kerana jika pergaduhan dan penceraian di antara suami dan isteri akan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian, bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? Sudah tentu apa yang diharapkan ibarat “bermimpi disiang hari” semata-mata.

Tanggungjawab membentuk rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan dalam pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga. Allah Taala berfirman;

“Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah Taala jualah pahala yang besar.” al-Anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak, kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi agar bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada saksiah ruhiah dalaman yang mantap. Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab-adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina. Mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain yang bukan mahramnya serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama. Mana mungkin sebuah kehidupan rumahtangga yang bercampur baur di antara ketaatan dan kemaksiatan dapat melahirkan generasi yang hebat lagi cemerlang sebagai penyambung zuriat keturunan. Nabi pernah bersabda;

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kedua ibu bapalah yang akan mencorak (kehidupan) mereka sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggota). Apakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?”

Padahal cinta yang tulus mulus hendaklah bermula pada Dzat Maha Kuasa yang mencipta perjalanan darah yang unik sehinggakan menghasilkan perasaan cinta dan kasih sayang sebagai salah satu fitrah insani yang perlu dihayati dari hati jatuh ke hati. Dia tidak pernah mencerca hina para hamba-Nya walaupun di sana kemurkaan-Nya sangat jelas dan sensitif pada kemaksiatan yang dilakukan oleh sekalian hamba-Nya. Namun kasih sayang Allah Taala Maha adalah segala-galanya, mengatasi kemurkaan-Nya tatkala hamba-Nya sudi merafak sujud di keheningan malam syahdu mengharapkan keampunan dengan mengakui kesalahan dan melahirkan rasa penyesalan di atas kelalaian dalam memilih sebuah perjalanan yang diredhai-Nya. Allah Taala berfirman;

"Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap-Ku. Aku mengasihimu dengan kenikmatan-kenikmatan tetapi kamu membenci-Ku dengan berbuat maksiat-maksiat. Kebajikan Kuturunkan kepadamu dan kejahatan-kejahatanmu naik kepada-Ku. Selamanya malaikat yang mulia datang melaporkan tentang kamu setiap siang dan malam dengan amal-amalmu yang buruk. Tetapi hai anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu dari orang lain dan kamu tidak tahu siapa yang disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya." (Hadith Qudsi)

Mahar Cinta Terhutang

Penulis merenung sejenak, seusai melaksanakan tuntutan agama di masjid itu, di petang indah sayut menunggu camar berterbangan pulang ke sarang. Jika mengharuskan penulis jatuh cinta kepada seorang perempuan yang halal dikahwini, maka pengalaman jatuh cinta itu boleh penulis gambarkan secara fakta dan boleh pula penulis gambarkan secara fiksi.

Kalau secara fakta, maka penulis tentu akan melaporkan berapa tekanan darah, berapa denyutan nadi per minit dan bagaimana komposisi hormon serta enzim yang ada di dalam tubuh penulis bergerak sepersis tumbuhnya rasa kasih dan cinta itu, seperti catatan di kaki tempat tidur seorang pesakit di hospital, yang setiap pagi dibaca oleh oleh para doktor dengan raut wajah tanpa emosi.

Adapun kalau secara fiksi,maka penulis akan menggambarkannya begini;

“Terimalah lamaran sang kekasih untuk beradu di kamar hati.”

“Jemput abang di Lembah Nil yang setia.”

“Akan aku utuskan dewa-dewa kasih ke sangkar hatimu.”

Gambaran yang lebih berbentuk suatu ungkapan puitis untuk dihamburkan ke liang telinga terus menerjah ke hati yang dalam untuk menghantar impuls perasaan suci ditafsirkan semulus tindakan yang terzahir di mata. Kalau seseorang ingin mengetahui atau mengalami bagaimana rasanya jatuh cinta, manakah gambaran yang lebih relevan baginya? Penulis merasakan, orang itu tentu akan memilih penggambaran secara fiksi diletakkan di hadapan manakala fakta adalah penguat pada hati untuk terus teguh pada pendirian yang lahir dari fiksi.

Spiritual atau jatuh cinta kepada Tuhan Maha Agung adalah fakta yang lebih abstrak daripada jatuh cinta kepada seorang perempuan. Oleh itu, menurut hemat penulis, agar orang lain boleh mengetahui dan merasakan pengalaman tersebut, maka perasaan itu akan lebih efektif bila digambarkan secara fiksi. Memang benar, pengalaman itu boleh juga digambarkan secara fakta dalam bentuk teologi atau psikologi. Namun penulis merasakan gambaran seperti itu tidak akan secara normal boleh melahirkan rasa cinta berputik dan menggetarkan hati-hati yang merasainya. Walau bagaimanapun, ianya tidak mustahil kerana sejarah telah membuktikan pada zaman para sahabat, bagaimana mereka merasakan cinta yang tumbuh mekar di hati hanyalah layak untuk Tuhan yang Esa sahaja. Allah Taala berfirman;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan jualah mereka bertawakal.” al-Anfal (8:2)

“Membicarakan tentang CINTA ibarat menguras air lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Takkan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia. Usia CINTA seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1000 manusia maka di situ ada 1000 kisah CINTA. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 million manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah CINTA akan hadir.”

Sungguh indah cinta itu, jika ditafsirkan dalam erti maksud yang sebenarnya.


Jalan Sunnah Hiasi Rumahtangga

Ketahuilah,bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah obor bagi masyarakat Islam yang cemerlang. Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah, maka ianya juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini daripada dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi walaupun berbeza kerjaya dan lapangan.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini baik diri penulis mahupun bakal pendamping kelak. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya serta wadah perjuangan yang mendukungnya. Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita terasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah swt sahaja kita akan berjaya. Namun, sejauh mana Allah swt akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati segala kehendak-Nya. Justeru itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumahtangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah Taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada Yang Satu, cinta kepada Allah swt. Kalau dia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah swt. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita, cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah swt. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah Taala di padang Mahsyar kelak, lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah swt semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita pasti diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan (menegakkan agama Allah Taala) yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Begitu kukuh ikatan antara mereka yang mempunyai fikrah dan perjalanan hidup seumpama ini, dalam dambaan cinta-Nya.

“Adam as bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Dia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Dia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Dia yakin ia tidak salah pandang. Dia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Dia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Dia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Dzat Maha Pencipta.”

CINTA dalam Islam ialah untuk mereka memahami Islam dan tuntutan syariat, serta sentiasa berada dalam tarbiah, di samping tahu akan kehendak tuntutan fitrah suci manusia itu. Bukan sahaja manis dibibir tapi bersedia untuk mengambil si 'dia' sebagai pemaisuri hati untuk sama-sama melihat Islam menjadi kuat dan dihormati kawan mahupun lawan, dengan pelbagai cara terutama dalam meramaikan zuriat yang mampu mendokong perjuangan para syuhada' terdahulu. Kenal dengan cara mendalam (walaupun tidak menyatakan secara terus terang) merupakan kasih sayang yang suci kerana bimbang diri tidak boleh menahan gelojak nafsu yang sentiasa bersedia untuk menyerang. Inilah taaruf atau konsep cinta yang ditaja oleh Islam yang penuh berhati-hati dan menjaga kemaslahatan semasa. Para hukama' pernah bermadah;

Barangsiapa yang bercinta (dengan menjaga batasan dalam Islam dan untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata) dan bilamana mereka mati (semasa cinta masih bertaut) maka matinya itu dikira sebagai mati syahid."